Orang baik mati cepat?

Semacam satu musim.  Begitulah kekadang dirasakan.  Sejak kebelakangan ini,  ramai sahabat dan kenalan rapat yang meninggal dunia.  Secara tiba-tiba pula.  Insya-ALLAH, mereka yang pergi itu semua baik-baik akhlaknya.

Sewaktu menziarahi seorang sahabat yang meninggal dunia dua minggu lalu secara tiba-tiba, timbul pertanyaan di hati, kenapa orang baik mati cepat? Walaupun aneh kedengarannya, tetapi soalan itu menerjah juga tanpa dapat di tahan-tahan.

“Kenapa orang baik mati cepat?” tiba-tiba soalan yang sama dilontarkan oleh seorang sahabat lain yang sama-sama menziarahi allahyarham.

Saya terkejut. Rupa-rupanya ada juga orang lain yang sama rasa dengan saya.  Cuma dia berani meluahkannya, tetapi saya pula memendam di dalam hati

“Kenapa? Orang jahat mati lambat?” balas saya.

Dia tersenyum.

“Berdasarkan pengalaman saya, ramai orang baik mati cepat.  Lihatlah sahabat kita ni…baru mencecah 40 tahun sudah di jemput pulang”

Saya termenung mencari makna dan kata-kata itu.  Terkesima seketika.  Ya..saya yang lebih tua ini belum mati…mungkinkah saya tidak sebaik dia?  Begitu gerutu saya dalam hati.

“Tidak ada pengalaman tengo orang jahat mati cepat?” saya menjoloknya pula.

Dia menggeleng-geleng.

“Saya pun tidak tahu apa penjelesan yang tepat,” akui saya terus terang.

“Tetapi ada hadis mengatakan bahawa pada akhir zaman ilmu di angkat dengan kematian para ulama,” saya menambah lagi.  Ya, saya pernah mendengar tentang itu.

“Ohh..jadi ada kebenaran orang baik mati cepat.”

“Tidak juga,” balas saya selamba.

“Kenapa?”

“Takkan orang yang baik terdiri daripada para ulama sahaja.  Bukan ulama pun ada yang baik juga”

“Ya tak ya juga”

“Kau pernah tengok atau dengar orang jahat mati lambat? ”  Saya mengulangi soalan terdahulu.

“Susah kita nak tentukan seseorang itu baik atau jahat…”

“Tetapi allahyarham sahabat kita ni orang baik bukan?”

“Insya-ALLAH. Amin,”  jawabnya perlahan namun penuh kepastian bercampur harapan.

“Saya rasa mungkin ada sebab yang lain.”  Saya memulakan semula perbualan.

Kami berdua benar-benar dalam kesedihan.  Perbualan ini sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit kesedihan yang dapat dirasai saat itu.  Sahabat yang baru meninggal itu bukan calang-calang orang, jasanya dalam dakwah dan pendidikan Islam telah di akui ramai.  Jasanya jauh lebih panjang berbanding usianya.

“Imam Syafie meninggal dunia ketika berumur  51 atau 52 tahun.  Imam Nawawi lebih muda dari itu,” tambah sahabat saya tanpa member respons tentang ‘mungkin ada sebab lain ’ yang saya katakan sebelumnya.

“Mungkin ada sebab lain kenapa kita rasakan orang baik mati cepat, orang jahat mati lambat.”  Sekali lagi saya cuba memancing perhatiannya.

“Apa yang kau rasakan? Ada sebab lain?”

Saya pula yang tersenyum.  Dia juga sahabat akrab saya.  Entahlah…antara kami siapa yang akan meninggalkan siapa?  Ya, siapa agaknya yang akan dijemput oleh kematian terlebih dahulu.  Tidak tahu bila, tetapi saat itu pasti tiba.  Orang yang berbual tentang kematian pun akan mati juga.

“Saya rasa orang baik dirasakan mati cepat kerana orang yang masih hidup belum puas menikmati kebaikannya!”  letus saya setelah berdiam agak lama.

Manusia selamanya tidak akan puas dengan kebaikan.  Kebaikan itu fitrah semua manusia.” Sahabat saya menambah lagi.

“Saya teringat satu peribahasa Cina yang mengatakan untuk mengenal kebaikan seribu tahun belum cukup…

“Maksudnya?”

Kebaikan itu sentiasa didambakan oleh hati manusia.  Bila menikmatinya, manusia ingin menikmatinya lagi dan lagi… Kalau boleh,  biarlah sampai beribu tahun.

Sahabat saya termenung.  Merenung.  Perjalanan pulang daripada ziarah kematian itu  dirasakan terlalu panjang.

“Kau  tahu peribahasa itu  masih ada sambungannya?”

“Sambungannya ini akan menjelaskan kenapa orang  jahat dirasakan mati terlalu lambat,” tambah saya tanpa member sambungan yang dipintanya.  Biar saspens sedikit.

“Sambungannya begini..tetapi untuk mengenal kejahatan satu hari sudah terlalu lama!

“Sekarang aku tahu kenapa orang jahat mati lambat,opss..dirasakan mati lambat.” Dia memperbetulkan ayat bagi menerangkan maksud yang sebenar.

“Kenapa?” Saya memberikannya laluan untuk menjelaskan.

“Manusia benci dan jemu kepada kejahatan.  Satu hati dalam ‘merasakan’ kejahatan dirasakan sudah terlalu lama.  Ya, sebab itulah orang jahat selalunya mati lambat.  Bukan usia mereka yang panjang tetapi kejahatan itu yang menjemukan dan meresahkan orang yang hidup”

“Ahh…sekarang giliran dia.  Giliran kita bila agaknya?”

Saya melencongkan sedikit arah perbualan kerana ada kisah yang menerjah ruang ingatan.  Kisah benar beberapa bulan lalu ketika saya menziarahi seorang ulama yang baru pulih daripada strok.

“Enta tahu berapa orang yang menziarahi ana sewaktu ana terlanjur dulu yang telah mati?” Tanya ulama yang sangat saya segani itu.

“Masa tu ana terbaring tak dapat bergerak dan bercakap.  Tapi ana masih kenal orang yang ziarah ana.  Ramai anak murid yang ziarah dan mendoakan ana.  Harapan untuk ana pulih 50-50.  Dalam ramai-ramai anak murid itu, ada yang menangis sambil berdoa memohon kepada ALLAH agar sembuhkan ana…”

“Alhamdulillah, makbul doa mereka tu.  Sekarang ustaz dah sembuh,” ujar saya.

“Alhamdulillah dan innalillah”

Kenapa innalillah, gumam saya dalam hati.

“Alhamdulillah sebab ALLAH sembuhkan ana.  Innalillah sebab ada di antara yang mendoakan ana itu telah meninggal dunia,” jawab ulama itu seperti dapat meneka pertanyaan hati saya.

“Ajaib benar kematian ini.  Orang sakit yang dirasakan akan mati terus hidup, sementara orang yang sihat yang mendoakannya pula yang mati.  Bukan seorang, tapi ana kira sepanjang tempoh enam bulan ana terlantar hingga kini, sudah lapan orang yang menziarahi ana dahulu telah meninggal dunia!”

“Apa yang kau menungkan?”

Tiba-tiba kawan saya memutuskan lamunan panjang saya. Dia memandu perlahan sahaja. Mungkin juga sedang melayan lamunannya.

“Saya tertanya-tanya bila pula agaknya giliran kita?”

“Apakah datang dengan tiba-tiba atau sudah dijangka?”

“Itu tidak penting. Yang penting, apakah kita diambil semasa dalam ketaatan atau kejahatan?”

“Alhamdulillah, sahabat kita meninggal semasa melaksanakan aktiviti kebaikan .”

“Kau tahu, saya ada cerita tentang kematian yang sangat menakjubkan. Malah, menimbulkan cemburu dihati,”tambah saya.

“ Cerita benar?”

“Baru terjadi dua bulan lepas.” Saya mula bercerita tentang seorang lelaki, abang kepada kawan isteri saya yang meninggal dunia dua bulan lalu. Allahyarham meninggal sewaktu mengerjakan solat asar berjemaah di dalam masjid. “ Alhamdulillah….masih ada kematian yang semacam itu pada zaman ini,”ulas sahabat saya selepas mendengar cerita saya.

Cara mati kita ditentukan cara hidup kita,” pintas saya perlahan.

“Macam pernah dengar saja ungkapan tu.”

“Itu kata-kata Imam Ghazali.” Saya sekadar mengingatkan.

“Saya agak terlupa akan maksudnya.”

“Kau tahu kenapa agaknya allahyarham meninggal dalam keadaan yang sebaik itu?”

Saya pun bercerita lagi.  Menurut kawan isteri saya itu, abangnya memang seorang yang istiqomah solat berjemaah di masjid setiap waktu.  Kerja kampong seperti mengambil upah menebas, membersihkan kebun di samping berniaga secara kecil-kecilan membolehkan allahyarham mengatur jadual hidupnya sendiri.  Ya, hanya orang yang sering ke masjid ‘terpilih’ sahaja mati di sana.  Dan orang yang konsisten  solat sahaja yang besar kemungkinan mati dalam keadaan bersolat.  Siapa yang hidup secara baik akan mati secara baik.  Insya-ALLAH.

“Soal mati lambat atau cepat sekarang ni tak penting lagi.  Tapi adakah kita mati dalam keadaan baik atau sebaliknya, itu lebih utama”

“Ada yang lebih utama daripada itu…yakni menentukan cara hidup yang baik!  Sebab cara hidup yang baik akan menentukan cara mati yang baik,” saya mengingatkan.

“Bolehkah kita mati dalam keadaan lidah dan hati kita mengingati ALLAH?”

Kali ini dia pula yang mengalih arah perbualan.

“Bergantung pada keadaan kita semasa hidup.   Kalau kita selalu berzikir dan mengingati ALLAH semasa hidup, insya-ALLAH semasa hampir kematian, ALLAH jugalah yang sentiasa di hati dan dibibir kita.”

“Saya teringat satu analogi yang diberikan oleh sekumpulan pendakwah ketika masih di kampus dulu.  Kata mereka, jika lori berisi pasir berlanggar, yang akan terkeluar dan berselerak ialah pasir.  Sebaliknya jika lori sampah, sampahlah yang akan bertabur”dan tersembur ke luar.

“Maksudnya?” Kali ini saya pula yang menagih penjelasan daripadanya.

“Samalah seperti manusia.  Manusia yang lidah, hati dan dirinya sentiasa penuh dengan zikrullah, maka kalimah zikir itulah yang akan terluncur keluar bila tiba saat kematiannya.  Sebaliknya jika perkara-perkara kotor yang ada dalam dirinya, maka perkara itulah yang akan tersembur keluar di saat kematiannya.  Takkanlah lori sampah akan keluarkan pasir apabila berlanggar?”

“Cantik dan tepat sekali analogi itu.”

“Kita berhenti makan sedikit, okey?” Ajak sahabat saya sambil membelok ke tepi jalan.

Sebuah warung sederhana di tepi desa itu menjadi persinggahan kami.  Memang agak lapar juga rasanya.    Sejak awal pagi (sewaktu mendengar  berita kematian) hingga jam 5.00 petang waktu ini, kami masih tidak menjamah apa-apa.  Hampir terlupa makan dek rasa terkejut tentang kematian itu.

Ketika mengambil lauk di warung itu, hati saya jadi sayu tiba-tiba.  Bergenang air mata tanpa di sedari apabila melihat masakan tempe goring pedas kering bersama tauhu, ikan bilis dan kentang hiris—masakan Jawa!  Itulah masakan yang sering dihadiahkan oleh allahyarham sahabat saya kepada keluarga saya sewaktu kami tinggal berjiran beberapa tahun lalu.

Seringnya dia berkata, “Ini kiriman ibu saya, marilah kita kongsi bersama.”

Dan perasaan saya sekali lagi mengalahkan logik akal.  Perasaan saya terlalu sayu bila hati saya terus dan tetap berkata, “Memang orang baik mati cepat!”

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: