Aku dan empat isteri

Izinkan saya berkongsi cerita.  Cerita yang sangat mengesankan.  Kisah yang menyebabkan hati bergetar, nurani bergegar.  Dengar dulu kisah berikut, bukan dengan telinga dan kata, tetapi dengan jiwa dan rasa.

Aku seorang businessmen yang punya empat isteri.  Sudah rezeki, terima sahajalah.  Pada kesempatan ini, aku ingin bercerita tentang isteri-isteriku.  Berminat? Ayuh, mari ikuti kisahku..

Kumulakan dahulu dengan isteri tersayang.  Siapa lagi kalau bukan isteri keempat.  Dia paling muda, paling bertenaga.  Dialah isteri yang paling ku cintai.  Kalau aku keletihan, dialah yang yang menyelesaikan segala kerja yang melibatkan tenaga.  Bertuah sungguh aku, punya isteri muda yang kuat dan bertenaga.  Dialah pujaanku yang sentiasa ku jaga dan dambakan kasihnya.

Isteriku yang ketiga, tidak kurang hebatnya.  Diantara keempat-empat isteri, dialah yang paling cantik. Wajahnya amat memikat sesiapa sahaja yang melihat.  Pandai berhias dan bergaul di majlis-majlis rasmi mahupun dalam pertemuan-pertemuan biasa.  Jika ke majlis-majlis penting sama ada untuk urusan perniagaan atau perhubungan, dialah yang selalu menemaniku.  Ohh..terasa bangga dalam hati setiap kali memperkenalkannya di hadapan teman-teman. Seraut wajah tenang dan tutur katanya begitu manis kelihatan!

Isteriku yang kedua tidak kurang hebatnya.  Walaupun tidak secantik dan bertenaga seperti isteri ketiga dan keempat, tetapi punya akal yang cerdas.  Dia sangat pintar dalam menyelesaikan segala masalah.  Jika aku buntu dalam menghadapi sesuatu masalah, dialah yang menjadi tempat rujukku.  Ada sahaja buah fikiran dan jalan penyelesaian yang dapat diketengahkannya.  Terasa sungguh bertuah…dia sering berada di sisiku ketika berhadapan dengan apa jua masalah.

Aduhai… ini pula.. isteriku yang pertama.  Rupanya tidak ada.  Fikiran? Ditahap biasa-biasa sahaja.  Tenaganya pula sudah semakin diragut dek usia.  Kehadirannya semacam tiada.  Pergi tak mengurang, datang tak bertambah.  Bak melukut di tepi gantang, kata orang.  Hendak ku cerai tidak sampai hati.  Mujur dia tidak kisah walaupun aku jarang-jarang datang menemuinya.  Bukan tidak kasihan, tapi apa boleh buat, hatiku tidak ada lagi padanya.  Isteri tua..dah tidak ada selera!

Hidupku riang dan ceria sehinggalah suatu hari, tiba-tiba badanku lemah.  Pandanganku terasa berpinar-pinar.  Dan akhirnya aku terjatuh terjelopok sewaktu melangkah ke luar daripada satu mesyarat di pejabatku.  Dengan segera aku di hantar ke hospital.  Kaki, tangan dan badanku tidak dapat bergerak-gerak lagi.  Ya ALLAH…apa sakitku?

Doktor datang dan berkata perlahan, “Maaf tuan, saya terpaksa berterus terang.”

Aku mendengarnya dengan penuh rasa gentar

“Tuan diserang barah di tahap terakhir.  Mengikut pemeriksaan dan penyelidikan kami, umur tuan mungkin tidak panjang.  Paling lama dua bulan.  Tetapi ajal maut ketentuan ALLAH.  Banyakkanlah berdoa, mudah-mudahan ALLAH makbulkan.  Dari sudut perubatan, tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat kecuali mengambil ubat penahan sakit!”

Aduh…bagai di sambar halilintar mendengar kenyataan itu! Aku akan pergi buat selama-lamanya? Benarkah apa yang kudengar sebentar tadi?

Mujurlah mulut ini masih boleh berkata-kata.  Lalu kupanggil keempat-empat isteriku.  Ingin ku temui seorang demi seorang.  Merekalah tempat aku meluahkan resa dan takut di dada ini.  Pertama yang ku temui adalah isteri tersayang—isteri keempat, yang menjadi harapanku.

“Sayang, sayang tahu kan bang akan pergi tak lama lagi.  Kalau ditakdirkan, sudi ke kalau sayang mati bersama abang?  Untuk menemani abang di alam barzakh sana?” Tanya ku perlahan sambil meramas-ramas tangannya penuh kasih saying dan harapan

“Bang, soal mati jangan buat bergurau.  Abang pun tahu saya muda lagi.  Takkan abang nak saya mati sama? Abang perlu faham situasi saya.  Kalau abang mati, relakanlah saya meneruskan kehidupan baru dengan lelaki lain.  Mustahil abang sanggup biarkan saya yang muda ini hidup menjanda.”

Terlepas tanganya yang ku pegang.  Aku merenung matanya untuk mendapat kepastian.  Ya dia pasti.  Tidak ada langsung rasa ragu yang dapat kubaca daripada sinar matanya.  Jilka aku mati nanti, dialah isteri yang paling awal yang tidak bergelar janda.  Janda muda, siapa yang tidak teringin!

Apabila isteri ketiga memasuki ruang kamar, aku masih mampu melontar sisa-sisa senyuman yang masih tinggal.  Wajahnya cantik, molek dan rupawan seperti biasa.  Aduhai…alangkah sukar untuk berpisah dengannya nanti.

“Darling, abang akan pergi selamanya…”

“Ya bang, saya sangat sedih bayangkan hidup tanpa abang di sisi,” balasnya bersama tengisan

Ha..ada harapan ni. Bisikku dalam hati

“Darling, sudikah temani abang di alam barzakh nanti sbagai bukti cinta kita?” Aku menduga hatinya.

Dia tersentak. Dan matanya yang bak bintang timur seakan terbeliak merenungku.  Spontan, lehernya yang jinjang juga menggeleng-geleng perlahan.

“Bang, kita perlu rasional.  Kecantikan saya memang untuk abang, tapi masa abang hidup sahaja.  Bila abang mati, saya perlu teruskan kehidupan.  Selain harta yang abang wariskan, kecantikan inilah aset saya untuk teruskan kehidupan yang masih panjang ini. ”

Oh..kau juga serupa! Alangkah seksanya memikirkan kecantikanmu yang akan dinikmati oleh lelaki lain.  Harapan ku hancur berderai.

Ya, isteri kedua adalah harapan terakhirku. Dialah yang sering menyelesaikan sebarang masalah.  Tentu masalah ini juga mampu diselesaikannnya.

“Abang perlu pandangan saya untuk menyelesaikan masalah abang?” tanyanya sebaik kami bertentang mata.

“Ya sebab kaulah satu-satunya harapan abang yang masih tinggal.”

“Saya akan membantu sedaya upaya untuk selesaikan semua masalah abang dengan lancar…”

“Dengan lancar?”

“Ya, soal pembahagian harta pusaka akan saya uruskan dengan baik.  Perniagaan abang pun dah saya semak semua hutang piutangnya.  InsyaALLAH perniagaan dapat di teruskan  Abang jangan risau.  Batu nisan yang mahal telah saya tempah.  Begitu juga dengan tanah perkuburan.  Imam, jemaah dan masjid untuk solat jenazah juga dah saya tentukan.  Abang jangan takut, semuanya dah selesai saya uruskan”

“Bukan itu maksud abang.  Itu bukan masalahnya.  Tapi masalah abang ialah abang takut bersendirian di alam kubur.  Berilah jalan penyelesaiannya.  Sekian lama kau dapat selesaikan semua masalah abang, sekarang tolonglah abang macam biasa.”

“Apa masalah abang?”

“Sudikah kau temani abang di alam kubur?”

Isteri keduaku begitu terkejut.  Dia menutup muka dan berlalu segera sambil menangis.

Harapanku hancur lebur. Semua yang tersayang sudah tidak sudi lagi. Aku terkapai-kapai sendirian untuk menghadapi hidup selepas mati.  Alangkah sepi dan ngerinya nanti.

Tiba-tiba…Tuk! Tuk! Tuk!

Bunyi pintu diketuk.

“Assalamualaikum….bang”

Ahh…terlupa pula…aku masih punya satu isteri lagi—isteri pertama.  Isteri tua tidak boleh kusandarkan apa-apa harapan, jauh sekali untuk menyuntik sebarang semangat buatku.

“Waalaikumussalam,” jawabku hambar.

Aku tidak mengharap apa-apa daripadanya.  Aku tidak akan mengemukakan apa-apa permintaan, justeru ak dapat meneka apakah jawapannya nanti.  Mustahil dia yang seringa aku tinggalkan, yang sering aku pinggirkan sudi menemaniku.

“Terima kasih kerana abang masih sudi jumpa saya,” katanya sebaik bersalaman.  Hambar dan tawar aku rasakan.  Tiada langsung rasa kasih sayang di hati ini buat isteri sepertinya.

“Abang, saya sanggup temani abang.  Ke mana saja.  Di mana jua.  Saya sanggup temani abang sekalipun terpaksa mati bersama.  Jika di takdirkan, saya sanggup temani abang di alam kubur!”

Huh…alangkah gembiranya hatiku! Rupa-rupanya dia yang sering aku pinggirkan paling setia dan berguna.  Terharu rasa hati ini dengan keikhlasannya.  Ternyata dialah isteri sejati dan hakiki meskipun tiada tenaga, rupa dan idea.  Ahh…mengapa hatiku buta selama ini?

SAUDARA saudari, siapa ‘aku’ dalam cerita ini? Siapa lagi kalau bukan kita.  Kitalah yang punya empat ‘isteri’.  Isteri keempat adalah jasad dan tubuh kita. Daripadanya kita mendapat kekuatan dan tenaga.  Oleh itu, ‘dia’ kita jaga sepenuhnya.  Diberi makan dan minum serta dilindungi daripada sebarang penyakit.

Kita sangat sayang ‘isteri keempat ini’.  Masa, harta dan perhatian kita habiskan sepenuhnya untuk membelai fizikal dan anggota badan kita.  Jangan sakit, cacat dan lemah.  Pelbagai makanan tambahan ,  ubat-ubatab serta rawatan kita usahakan untuk mendapat tenaga daripada tubuh badan.

Isteri ketiga pula adalah harta.  Siang malam kita memikirkan bagaimana untuk menambah pendapatan.  Bagaimana meningkatkan kewangan keluarga?  Itu yang sering kita fikirkan.  Tidak cukup dengan kerja yang ada,kita usahakan kerja tambahan. Apabila wang simpanan bertambah dan meningkat, kita belikan asset.  Kita beli kereta besar, rumah cantik, serta kelengkapan yang serba canggih.

Apabila berhadapan dengan tetamu yang datang bertandang, kita bangga memperagakan rumah, keretadan segala asset pencarian kita.  Segala-galanya menghadiahkan status social dan meningkatkan darjat kita di mata masyarakat.  Ironis sekali.  Seolah-olah nilai kita terletak pada barang-barang yang bernilai yang kita miliki.

Isteri kedua kita adalah anak, isteri, anak saudara dan sahabat-sahabat kita. Pada merekalah tempat kita meluahkan masalah.  Pada merekalah kita harapkan pandangan, nasihat, teguran dan jalan penyelesaian.  Merekalah yang selalu kita temui, jumpa, jemput dan raihkan dalam hodup.  Hidup akan sepi tanpa mereka di sisi.

Isteri pertama adalah amal ibadah kita kepada ALLAH.  Inilah yang sering kita lupakan.  Kita pinggirkan.  Bila hendak bertambah amal? Nanti, esok masih ada.  Bila hendak taubat, tunggu usia masih muda. Segala kebaikan yang berbentuk hablumminallah dan hablumminannas sering tidak mendapat keutamaan. Segala-galanya hanya seperti ‘isteri tua’ yang tidak mengghairahkan dan menggiurkan lagi.

Namun, akan tiba masa nanti (dan itu pasti), akan terserlah jua ‘isteri’ yang benar-benar jujur dan setia.  Ketika saat berangkat yang didahului oleh  sakarat itu, apakah ada debu amal kita yang akan bertukarmenjadi permata?  Aduh.. alangkah malangnya kesepian pada malam pertama di alam kubur sana tanpa ‘isteri’ yang sudi mendakap kita

Advertisements
  1. analogi yang menarik dan memberi peringatan. jazakallah..

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: