Bukan tak tega, tetapi terlalu cinta !!

Beratnya untuk melepaskan dia pergi.  Selama ini tangan ini yang membelainya.  Selama ini hati ini yang selalu bimbangkannya.  Sejak suara tangisnya yang pertama, sejak ku laungkan azan di telinganya, aku begitu mengasihinya.

Kekadang menyerahkan satu amanah lebih payah daripada menanggungnya kerana lebih sukar mempercayai orang lain berbanding mempercayai diri sendiri

Namun dia bukan selamanya milikku.  Rumah ini cuma persinggahan dalam perjalannya menuju kedewasaan.  Dan kini sudah masanya kau pamit.  Walaupun hatiku tercalar sedikit rasa pahit, tapi siapalah aku yang boleh menahan perjalanan waktu?  Siapakah aku untuk menahan realiti kedewasaanmu, anakku?  Maafkan aku wahai anak, bukan aku tidak tega, tetapi terlalu cinta!

Sejak dulu, hati ini sering tertanya-tanya, apakah ada insan lain yang boleh menjagamu sepenuh hati.  Sejak bertatih aku melihat jatuh bangunmu tanpa rasa letih.  Siapakah yang membalut luka hatimu dalam kembara itu nanti?  Aku jauh… Bila segalanya bertukar tangan, amanah akan diserahkan.

Aku tahu saat itu aku mesti mula melepaskan.  Itu satu hakikat.  Cinta bukan bererti mengikat tetapi melepaskan, membebaskan. Kau umpama anak burung yang telah bersayap, telah mampu terbang membelah awan, meninggalkan sarang.  Apakah aku terlalu dungu untuk terus membelenggu?  Puteriku, kau terpaksa kulepaskan…

Apakah si dia mampu menyayangnya aeperti aku? Ahhh…mengapa rasa curiga ini datang bertandang? Bukankah segala-galanya telah diputuskan sejak dia membisikkan bahawa hatinya telah diserahkan kepada ‘si dia’–lelaki pilihannya?

Bukankah segala perbincangan musim lalu telah terungkai dan keputusannya sudah dimeterai? Namun hati ayah…pasti ada gundah.  Sudah pasrah, tapi diguris goyah.  Bolak-balik hati ini wahai anak…terlalu laju untuk dipaku.  Tepatkah pilihanmu?  Tepatkah keputusanku?

Namun siapakah kita yang boleh membaca masa depan?  Layakkah kita mengukur kesudahan di batas permulaan?  Sangka baik jadi penawar.  Kau anak yang baik, insya-ALLAH pilihanmu juga baik.  TUHAN tidak akan mengecewakanmu.  Jodohnya telah ditentukan.  Dan ketentuan ALLAH itu pasti ada kebaikan!

Kekadang aku diserbu 1001 pertanyaan.  Apakah aku masih dihatinya bila dia bersuami nanti?  Atau aku hanya akan menjadi tugu kenangan yang di jengah sekali-sekala?  Bukan, bukan aku membangkit, jauh sekali mengungkit.  Upayaku mendidikmu bukan satu jasa.  Itu hanya satu amanah.

Namun, ketika usia menjangkau senja, aku pasti semakin sepi.  Aku akan mengulang-ulang kisah lama yang penuh nostalgia.  Diulit oleh kenangan indah musim lalu, ketika dia begitu manja di sisi.  Aku ingin mendengar lagi suaranya yang dulu-dulu.  Mengadu tentang ini dan itu.  Bercerita dan berkisah, dengan lidahmu yang petah dan lagak yang penuk keletah.

Pergilah, puteriku.  Aku rela.  ALLAH bersamamu.  Doaku mengirini setiap langkah di alam rumah tanggamu.  Moga dia akan menjagamu seperti aku menjaga ibumu.  Aku akan bersangka baik, justeru ALLAH itu meturut sangka hamba-hamba-NYA.  Insya-ALLAH dia dan aku akan mendapat yang terbaik.  Di situ noktahlah kebimbangan hati seorang ayah.

Dari jauh, ayah cuma berpesan…hidup tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.  Itulah ukiran ALLAH, itulah lukisan alam…

Advertisements
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: