Mati itu motivasi. Percaya?

Kebelakangan ini, otak saya asyik memikirkan mati.

Sudah hampir ajal kah? Saya tak pernah percaya banyak mengingati mati itu tanda sudah hampir ajal. Sebab mengingati mati adalah digalakkan oleh Rasulullah SAW. Tambahan, umur adalah di dalam ilmu Allah. Cepat lambat itu urusannya.

Mengingati mati bukannya hendak mati cepat. Tetapi ia adalah persediaan.

Memikirkan kematian, membuatkan saya mendapat sesuatu.

Bukankah mati itu boleh menjadi motivasi?

Ya. Motivasi untuk diri. Juga untuk hati.

Oh kamu yang masih hidup, tidakkah kamu memerhati?

Mengingati mati, menghargai kehidupan.

Mati itu tidak mampu dijangka. Bila-bila masa sahaja diri boleh dipanggil pergi. Pagi, petang, siang, malam. Masa berjalan, memandu, tidur, hatta semasa membuang air. Tua, muda, tidak kenal usia. Bila-bila masa.

Alangkah indahnya bagi yang memahami seni dalam kematian. Halus dan tersembunyi.

Maka tidakkah orang yang memahami perkara ini, akan menghargai hari yang sedang dilalui?

Maka sekarang apa yang sedang dilakukannya?

Bila kita terpilih dibangunkan sewaktu pagi apa yang diazamkannya untuk hari baru itu? Tidakkah jiwa rasa bersyukur kerana masih diberi peluang beramal dan bertaubat? Tidakkah anda merasakan satu kelapangan apabila dibangunkan pada waktu pagi?

Bangun pagi = peluang.

Anda telah hidup berapa tahun? Berapa kali agaknya anda telah dipilih untuk bangun pagi?

Cuba anda memandang ke belakang, dan membayangkan jika salah satu dari tidur anda itu, anda tidak dipilih untuk bangun dan mencapai hari ini. Apa agaknya yang akan berlaku?

Adakah anda dapat membayangkan?

Bukankah mati itu bila-bila masa?

Tetapi anda masih hidup sampai hari ini. Melepasi hari-hari lalu.

Maka dengan apakah anda mengisi hari ini?

Kesia-siaan?

Jika anda menyedari akan hakikat kematian, pastinya hari ini tidak akan anda lepaskan.

“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).” Surah Al-Baqarah ayat 28.

Selepas mati

Apa yang ada selepas mati?

Alam barzakh. Padang Mahsyar. Syurga@Neraka.

Alam barzakh tidak kita tahu berapa panjangnya kita akan berada di dalamnya. Ya, sampai kiamat. Tapi kiamat itu bila? Tiada jawapannya.

Padang Mahsyar tidak kita tahu juga berapa lamanya kita hendak berdiri di sana. Ada yang tahu? Ada orang kata sehari di sana sama dengan 1000 tahun di bumi. Yala, kalau sehari di sana sama dengan 1000 tahun di bumi pun, berapa hari kita ada di Padang Mahsyar? Ada jawapan?

Di dalam Syurga dan Neraka? Jawapannya sudah ada. Kekal abadi selamanya.

Itulah dia tiga alam kita akan lalui selepas mati. Dan ketiga-tiganya diputuskan keadaannya semenjak di dunia. Baik kita di dunia, baiklah kita di alam barzakh. Baik kita di dunia, selamatlah kita di Padang Mahsyar. Baik kita di dunia, syurgalah tempat pengakhiran.

Masalahnya, kalau tak baik?

Adakah di alam barzakh boleh beramal?

Adakah di padang mahsyar boleh beramal?

Adakah di dalam neraka boleh beramal?

Siapakah yang apabila memahami hakikat ini, hendak mempersia-siakan hidupnya yang mungkin hanya setahun dua? Yang kalau panjang-panjang pun mungkin sukar hendak mencecah seratus tahun itu?

Adakah anda, apabila menyedari hal ini, merasa lega anda masih hidup?

Menyedari anda masih hidup, adakah anda sekarang bercita-cita hendak mengisinya dengan kesia-siaan?

“Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar” Surah Al-Anfal ayat 50.

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan ‘sakratul-maut’ (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya” Surah Al-An’am ayat 93.

Mana agreement?

Ada tak agreement yang menyatakan anda akan hidup lagi seminit?

Perasan tak yang kita ini tiada apa-apa perjanjian yang menjamin kita akan hidup lagi seminit? Apatah lagi agreement yang menjanjikan kita akan hidup 80 tahun lagi.

Jadi, di mana keyakinan kita untuk: “Ala, nanti dah tua aku taubat la”

“Ala, nanti bila aku rasa nak insaf, aku berhenti la”

Di manakah keyakinan itu datang?

Perasankah anda, anda tiada perjanjian yang memastikan anda 100% hidup sampai waktu yang anda rasa anda hendak taubat itu?

Adakah apabila anda menyedari hal ini, anda hendak mengisi kehidupan anda dengan kesia-siaan?

“Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja” Surah Al-Ahzab ayat 16.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)” Surah Al-Jumuah ayat 8.

Penutup: Sungguh, mati adalah motivasi

Pada saya, sesiapa yang memahami hakikat kematian, dan menyedari akan seni kematian yang sebenar, dia akan bermati-matian berusaha dalam kehidupannya.

Mati adalah satu pintu yang hanya terbuka bila tiba masanya. Selepas itu tertutup dan takkan terbuka semula.

Siapakah yang mengahayati kematian, kemudian dia bermain-main dalam kehidupannya?

Hidup itu dua kali. Mati hanya sekali sahaja. Dan hidup yang kali kedua itu, diputuskan keadaanya dengan apa yang telah kita lakukan pada kehidupan yang sebelum melangkah pintu kematian.

Kamu yang masih hidup, tidakkah kamu memikirkan?

Sungguh, kematian adalah satu motivasi yang hebat.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.

Advertisements
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: